Profil Pengarang
77 Kunci Untuk Wanita Berani Berjaya
Lakari Impian Dalam Kesyukuran, Jayakan Dengan Tindakan
Oleh Najdiah Abu Bakar
Najdiah Abu Bakar merupakan seorang Konsultan Pengurusan Profil Kewangan, Konsultan Perniagaan & Keusahawanan, Usahawan, dan Penulis Buku yang berpengalaman luas, dengan penglibatan hampir tiga dekad dalam bidang perkhidmatan kewangan, pembangunan perniagaan dan keusahawanan.
Berasal dari Alor Setar, Kedah, beliau merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (Kepujian), Universiti Utara Malaysia (UUM). Najdiah menerima pendidikan awal di sekolah aliran Cina, yang telah membentuk ketahanan diri, disiplin tinggi dan kemahiran komunikasi yang berkesan. Dibesarkan dalam persekitaran keluarga usahawan dan pendidik, beliau terdedah kepada dunia perniagaan sejak kecil, telah membentuk minat yang mendalam terhadap literasi kewangan dan kebebasan ekonomi.
Pengalaman awal inilah yang menjadi asas kepada dedikasi beliau dalam memperkasa masyarakat melalui ilmu kewangan dan keusahawanan. Najdiah memulakan kerjaya profesional sebagai pegawai bank pada tahun 1996, sebelum mengambil keputusan untuk menceburi bidang keusahawanan sepenuh masa pada tahun 1998. Sejak itu, beliau telah memberi impak kepada ribuan individu, khususnya wanita dan usahawan mikro, melalui sesi bimbingan, konsultasi strategik dan pendidikan pengurusan kewangan yang praktikal.
Kini, beliau merupakan Pengarah Urusan Heroz Group Synergy Sdn. Bhd., di samping memegang jawatan kepimpinan dalam beberapa organisasi lain termasuk Change 360 Sdn. Bhd., EDCHOPE Holdings Sdn. Bhd., Perfect Triangle Sdn. Bhd., HOPE Entrepreneur Association dan Koperasi HOPE Berhad.
Kepakaran beliau merangkumi strategi perniagaan, perancangan kewangan, pengurusan pelaburan & legasi, serta pembangunan keusahawanan. Sebagai jurulatih, pembimbing, penceramah dan mentor, Najdiah dikenali dengan pendekatan yang praktikal, empati dan penuh inspirasi.
Program-program utamanya seperti CELIK WANG, CELIK NIAGA dan WANITA JANGAN KECUT telah menjadi platform penting dalam melahirkan individu celik kewangan, usahawan berdaya tahan dan wanita bersedia menghadapi cabaran dunia perniagaan.
Pernah melalui pelbagai fasa jatuh bangun dalam dunia keusahawanan, perjalanan Najdiah menjadi sumber kekuatan kepada misi hidupnya: untuk memperkasa individu, usahawan dan wanita dengan ilmu, keyakinan serta strategi yang mampu membina masa depan yang mampan dan berjaya.